Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang lahir kira-kira 99 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1907 dengan kira-kira 30 orang murid dan 3 orang guru termasuk seorang Guru Besar, Encik Khatib bin Said. Dengan bangunan papan bermotif rumah Melayu Melaka, sekolah ini bermula sebagai sebuah sekolah Melayu yang dibina dalam persekitaran perkampungan orang-orang melayu yang berpendapatan rendah hasil kerja sendiri seperti petani dan kerja-kerja kampong yang lain.
Namun, zaman beredar dan Kampung Bukit Beruang, juga terus menerus menerima perubahan demi perubahan. Demikian juga Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Seorang demi seorang Guru Besar diamanahkan menerajui sekolah ini, sebagai memenuhi inspirasi Pendidikan Negara, sesuai dengan peredaran negara ke era kemerdekaan yang berdaulat. Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang sempat diterajui oleh 12 orang Guru Besar sehingga tahun 1978. Pada tahun 1979, sekolah ini mencipta sejarahnya yang tersendiri, dimana buat pertama kali ia menerima seorang Guru Besar wanita, Puan Fatimah bte Abu. Beliau telah mencurahkan jasa dan khidmat bakti sehingga ke tarikh 15 Ogos 1991.
Tanggal 16 Ogos 1991, Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang sekali lagi bertukar teraju di mana Puan Hjh Sahara bte Hj Mohd Sudi telah diberi kepercayaan sebagai pemimpin pengurusan bagi mengetuai tenaga pengajar dan staff sokongan seramai 38 orang dengan bilangan murid yang ada pada ketika itu adalah seramai lebih kurang 700 orang. Bilangan murid yang sedang menuntut di sekolah ini kini telah meningkat kepada 1100 orang. Untuk itu, sebuah lagi bangunan tambahan Blok Cengal telah dibina pada tahun 1994.
Negara semakin pesat membangun, sektor pendidikan juga tidak mahu ketinggalan. Peningkatan bilangan murid begitu mendadak tidak lagi dapat ditampung. Justeru, pada bulan Jun 1999 dengan pembinaan sekolah baru yang letaknya berhampiran, seramai 400 orang murid Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang telah dipindahkan ke sekolah tersebut. Namun demikian, berkat kesabaran, ketabahan, ketekunan seluruh warga Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang termasuk ibu bapa dan murid, wujud Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang kini yang telah berjaya membuktikan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang kurikulum dan kokurikulum. Sementara Program Bina Insan serta sikap penyayang yang diamalkan menyebabkan sekolah ini terus mencipta nama bersama sekolah-sekolah elit di Negeri Melaka khususnya, dan di seluruh negara umumnya.
Setelah persaraan Puan Hjh Sahara bte Hj Mohd Sudi pada 02 September 2002 Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang menerima seorang lagi Guru Besar perempuan, Puan Faridah bte Mohd Fadzil untuk menyambung visi dan misi Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang. Kini, sebagai sebuah sekolah yang telah dianugerahkan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan Tahun 2000 bagi Kategori Sekolah Rendah Bandar. Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang terus tegak berdiri menjana fikir, menampil diri, memantapkan ICT, merealisasikan Sekolah Perkasa, cita-cita ke arah Sekolah Bestari terus digarap dan disusuli dengan keikhlasan dan kesedaran terhadap tanggungjawab mendidik generasi masa depan. Matlamat untuk terus meletakkan sekolah ini sebagai sebuah sekolah cemerlang, gemilang lagi terbilang akan terlaksana dan akan dilestarikan dengan kemantapan organisasi dan komitmen sepenuhnya daripada seluruh warga Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang.
Perjuangan diteruskan apabila Pn. Hjh Hamidah Yusof ditempatkan di SKBB pada 1 November 2007. Kecemerlangan dan keunggulan terus meniti apabila pada tahun 2009, SKBB mendapat Anugerah Sekolah Cemerlang Negeri Melaka sempena Hari Guru 2009 dan dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang 2009 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi mengekalkan keunggulan, SKBB akan terus berusaha meraih kejayaan dalam semua bidang Akademik, KoAkademik dan Kokurikulum.