|
|
بسم الله الرحمن الرحيم
|
|
الحمد لله رب العالمين , والصلوة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين . Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya, laman web SEDARA ONLINE ini dapat diakses oleh kita semua. Sebagai pentadbir di sekolah yang berwatakkan ICT ini, saya sesungguhnya berasa amat berbangga dan bersyukur kerana dapat bersama menggerakkan sekolah ini ke arah kemajuan teknologi sejajar dengan hasrat kerajaan kita. |
Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan sekalung
tahniah kepada Unit ICT SEDARA ONLINE atas usaha mereka membangunkan
seterusnya mengemaskini laman web sekolah ini agar ianya sentiasa segar dan juga
mempamirkan maklumat yang terkini. Saya amat memahami kekangan masa dan juga
beberapa masalah yang dihadapi oleh webmaster untuk menjadikan laman kita
sebagai laman yang terbaik untuk kegunaan warga sekolah ini khususnya. Saya
yakin, dengan perancangan yang telah dibuat, usaha untuk menjadikan laman ini
sebagai laman yang interaktif oleh guru, pelajar dan juga ibu bapa akan tercapai
jua akhirnya. Hasrat murni tersebut akan mendapat rahmat dan restu Ilahi
hendaknya kerana sesungguhnya Allah amat menyukai perkara-perkara yang baik. Doa
dan azam yang dilafazkan akan dimakbulkan jua akhirnya sepertimana firmannya
yang bermaksud "Berdoa(Minta)lah daripada Aku, nescaya Aku akan kabulkan"dan
"Setelah kamu berusaha, maka bertawakkallah kepada Ku". Yakinlah kepadaNya...
Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Melaka khususnya Unit Maklumat dan
Pegawai Bestari yang memberikan kita ruang yang cukup luas untuk bergerak maju
dalam bidang ICT ini. Kami telah diberi peluang melaksanakan program Lesson
Exercise Manager (LEM) sebagai salah satu usaha memudahkan urusan penyediaan
soalan dan penyemakannya. Makmal ICT sekolah ini juga sering digunakan oleh JPN
dan PPD untuk beberapa kursus yang melibatkan penggunaan ICT walaupun kami hanya
mempunyai makmal yang sederhana tidak selengkap makmal sekolah yang mempunyai
bangunan makmal komputer yang tersendiri. Bagi kami, kami amat bersyukur dengan apa yang ada
dan kami akan sentiasa berusaha memanfaatkannya semaksima mungkin.
Akhirnya, saya amat berharap agar semua kemudahan dan prasarana ICT yang telah
disediakan ini akan dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat dengan
pembangunan dan kemajuan sekolah kita. Tidak lupa juga kepada PIBG yang sering
memikirkan dan membantu kita menjayakan setiap program yang dirancang agar
benar-benar mencapai matlamatnya. Saya cukup berbangga dengan ahli jawatankuasa
sedia ada kerana sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dengan niat yang satu
iaitu bersama memastikan sekolah selesa,anak-anak berjaya, pendidik
gembira, ibu bapa berbangga.
Kecil-kecil cili api,
Besar-besar buah tembikai,
Manfaatkan kemudahan ICT,
Hasrat murni akan tercapai.
Sekian, terima kasih.
(ADAM BIN MD. DALI)
Guru Besar SKSD
<<<ALUAN GB>>>KE LAMAN SEDARA ONLINE