Oleh:
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Untuk membina sikap positif dalam diri, anda boleh amalkan
10 PETUA yang disenaraikan dibawah. Amalkannya setiap
masa dan dimana sahaja sehingga ia menjadi tabiat baru
anda. Setiap minggu dari sekarang saya akan bincangkan
salah satu dari 10 Petua ini. Tetap bersama saya.
Petua 1: Jangkakan kejayaan.
Petua 2: Lakunkan watak orang
cemerlang.
Petua 3: Ubah penampilan diri.
Petua 4: Berkawan dengan orang berjaya.
Petua 5: Dalami ilmu kecemerlangan.
Petua 6: Fokus kepada apa yang anda mahu.
Petua 7: Kejayaan silam membarai diri.
Petua 8: Saranan diri positif.
Petua 9: Soal diri dengan soalan yang positif.
Petua 10: Pelaziman minda.
|
Petua 3: Ubah
Penampilan Diri |
Sikap
positif terserlah melalui penampilan diri yang positif.
Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui
percakapannya, pakaiannya, rambutnya,
kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa,
sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina
sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil
contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu
majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan
baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan
berseluar kasual. Sampainya sahaja anda di sana, anda
lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju
batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda?
Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda
pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk
perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang
rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh
yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan
diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba
fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda
mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih
bersemangat dan yakin.
Kemas,
bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah
mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya
anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan
pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda
perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam
membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah
membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda
melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri
semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka
pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat
mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif.
Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan
diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan
sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan
dengan mempunyai penampilan positif.
Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk
penampilan diri:
-
Potongan rambut
- Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan
menarik.
-
Pilihan warna dan corak
- Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta
'matching'.
-
Jenis pakaian
- Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
-
Kemas dan rapi
- Sentiasa digosok rapi.
-
Kasut
- Kasut yang sesuai denga tujuan kehadiran
kita di satu-satu tempat.
-
Aksesori
- Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi
wanita), haruman dan lain-lain.
-
Jenama
- Bukan perkara utama tetapi digalakkan
bagi yang mampu.
-
Kesihatan diri
- Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan
sebagainya.
-
Gaya
- Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
-
Senyum
- Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang
terukir.
Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut
kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda
ceburi. Walau pun begitu anda tetap dinilai oleh manusia
lain melalui penampilan diri anda. Sebab itu permohonan
untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga.
Mereka mahu melihat calun-calun secara terus bukan sekadar
untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga
untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan
peribadi seseorang.
Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan
masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif,
pemimpin dan sebagainya.
Sekian..
bersambung ke Petua 4.
|