|
Lebih
kurang 25 tahun yang lalu, iaitu 1974,
masyarakat melayu telah gempar dengan lahirnya
seorang anak melayu yang telah mampu membaca
akhbar pada usia tiga tahun. Hampir kesemua
media membuat liputan. Hari ini, perkara
sebegini bukanlah sesuatu yang mengkagumkan.
Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi
multimedia, ramai anak-anak yang boleh membaca
pada usia sebegini.
Tetapi pada 25 tahun yang lalu, diawal 70an
pastilah kebolehan seperti ini dikira sebagai
menakjubkan. Hinggakan Prof. Diraja Ungku Aziz
membawa anak ini balik ke kampungnya untuk
diberikan ujian IQ. Pengarah Jins Shamsudin
pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah
hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi
Aziz ini. Melihat kepada kebolehan dan
kehebatan anak maka tidak hairanlah kalau hari
ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda.
Tanggal 22 November 1997 masyarakat melayu
sekali lagi digemparkan. Kali ini oleh
peristiwa seorang anak muda yang bekerja sebagai
pembuat roti canai telah didakwa kerana memiliki
enam paket kecil ganja. Beliau telah
didakwa dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya
1952 (pindaan 1983). Inilah orangnya yang
menjadi tajuk perbualan 25 tahun yang silam.
Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah dibanggakan
dulunya. Beliau jauh sekali dari dikatakaan
berjaya. Malah apa yang beliau lakukan hari ini
langsung tidak menggambarkan kebolehan sewaktu
kecil beliau. Rendahkah IQ lelaki ini? Tidak
sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini?
Jauh sama sekali. Yang silapnya kerana ia tidak
pernah terdedah kepada ilmu kecemerlangan diri
dan pembentukan sikap.
Pastinya lebih
ramai lagi. Saya yakin, kalau
perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang
individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku
dan akan terus berlaku kepada ramai lagi manusia
lain. Berapa ramai lagi agaknya yang senasib
beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd.
Sohkeri. Bagaimana pula dengan begitu ramai
yang mungkin waktu kecilnya cemerlang kini tidak
mampu meneruskan kecemerlangan ini. Saya
sendiri telah menemui begitu ramai pelajar yang
mendapat 5A dalam UPSR, atau 8A dalam PMR,
akhirnya kecundang salam SPM. Mereka sekadar
berpuashati dengan Gred 2 atau Gred 3 sahaja.
Ada yang lebih teruk sehingga mendapat SAP.
Persoalannya adakah mereka yang gagal dalam
kehidupan hari ini selayaknya gagal? Atau
mereka tidak tahu yang sebenarnya dalam diri
mereka ada sebutir permata yang tinggi nilainya
dan belum digilap. Inilah yang dikatakan
sikap. Tidak ada ertinya IQ yang tinggi serta
kebolehan yang luarbiasa tetapi malas berusaha.
Sentiasa tangguh kerja, main-main dan ambil
mudah. Mereka ini berpenyakit tetapi tidak
menyedarinya. Kalau AIDS dan JE boleh membunuh
diri, penyakit sikap ini pula boleh membunuh
harapan dan masa depan.
Bagaimana sikap
terbentuk? Sikap adalah sesuatu
yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran
dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah
tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara
fikir seseorang individu. Dua orang yang
mempunyai cara fikir yang berbeza akan
bertindakbalas secara berbeza juga terhadap
sesuatu peristiwa atau persekitaran. Cara fikir
merubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi
sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu
yang dipelajari dan ditiru. Antara
sumber-sumbernya ialah:
-
Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru,
rakan-rakan, idola
-
Pengaruh media - TV, radio, internet
-
Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar,
buku-buku.
-
Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
-
Peristiwa silam - besar atau kecil
-
Pengalaman
Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa
borek anak rintek. Kalau bapa jenis panas baran
maka anaknya berkemungkinan juga demikian.
Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa
seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula
cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru
seorang yang penyabar. |
|
|
Maka
sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak
ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu
tidak menguntungkan sesiapa. Dalam keadaan
ini, pengaruh guru lebih besar atas diri anak
ini dalam konteks tersebut. Jadi seorang anak
membesar dengan meniru tingkah laku orang lain.
Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi
daripada gabungan pelbagai sumber. Pemarah
macam ayah, boros macam emak, malas macam abang,
pakaian macam artis, buang masa macam
rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga dengan
sikap positifnya juga ditiru dari orang lain.
Berani macam ayah, bercakap benar macam emak,
suka mencuba macam abang, gigih macam artis
pujaan dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala
maklumat yang dilihat dan didengar ini, sama ada
positif atau negatif, tanpa sekatan. Apabila
maklumat yang sama diterima berulang-ulangkali
maka sedikit sebanyak mula terbentuk kepercayaan
dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima
pakai atau meniru cara orang lain ini. Keadaan
ini berlaku di bawah kesedaran seseorang. Ia
berlaku dalam tempoh masa yang panjang sebelum
menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia
menjadi kebiasaan segala tindak balas kita
menjadi spontan dan kerap kali tindakan kita
diluar kawalan diri.
Bolehkah sikap diubah?
Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif
hampir serta merta. Misalnya anda membonceng
motisikal rakan. Rakan anda membawa motisikal
dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang
seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan
anda mati ditempat kejadian. Ketika itu juga
anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap
anda apabila membawa motosikal. Walau pun ia
berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi
pengalam tersebut cukup menyakitkan dan
menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda serta
merta. Sikap anda juga berubah serta merta.
Sebenarnya
untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang
panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk
kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan
serta kepercayaan sememangnya perubahan diri itu
sesuatu yang mesti dilakukan. Setelah anda
membuat keputusan, perubahan berlaku serta
merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh
disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan
maklumat yang diperlukan untuk menyokong
kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang.
Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang
boleh memberikannya kepada anda. Sekiranya
anda seorang pelajar, kursus
Motivasi Alihan Pelajar salah satu tempat
yang terbaik untuk anda mendapatkan maklumat
ini.
Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat
pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan
kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian
begitu juga mudahnya mengubah sikap. Dengan
syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan
pegangan hidup yang negatif perlu digugat,
dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan
dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih
mudah dilakukan sekiranya dibantu oleh
seseorang yang pakar dalam bidangnya.
Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini
membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi
diri yang ada pada diri anda? Setiap kali guru
memberikan markah ujian, cuba tanyakan diri
anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan
oleh anda? Kalau tidak, apa yang menghalang
anda melakukan yang terbaik? Tiada yang
menghalang kecuali diri anda sendiri. Kalau
anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda
sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu
yang serupa 5 - 10 tahun yang akan datang. Yang
berubah ketika itu mungkin lokasi anda,
rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi
dalamnya tetap sama. Kalau sekarang anda gagal
di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda
bakal gagal pula dialam pekerjaan. Sebab itulah
anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu
dilakukan sekarang! Allah s.w.t telah berfirman
yang mafhumnya, "tidak akan aku ubah nasib
sesuatu kaum itu sehinggalah mereka ubah apa
yang ada dalam diri mereka sendiri".
|
|