
Tuan Haji Hamzah bin Abdul, BCM
Pengetua
SMK Bukit Rambai, Melaka
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kehadiran saya ke sekolah ini sebagai pengetua yang ke empat dapat diterima oleh semua warga SMK Bukit Rambai.
Tahniah kepada webmaster, khasnya Jawatankuasa ICT atas inisiatif mereka mengemas kini laman web sekolah. Tidak lupa juga kepada pihak PIBG yang diterajui oleh Tuan Haji Rahim bin Haron serta para AJKnya yang bersungguh-sungguh dan amat mengambil berat tentang perkembangan laman web sekolah ini. Saya berharap kerja-kerja mengemas kini laman web ini akan dapat diteruskan dan dijalankan secara lebih kerap sebagai wadah masyarakat setempat dan pengguna-pengguna internet untuk mengenali lebih lanjut tentang sekolah kita ini.
Kewujudan laman web ini juga dapat merealisasikan cita-cita Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah mewujudkan satu lagi prasarana ICT iaitu Pusat Akses di sekolah-sekolah serta hasrat Jabatan Pelajaran Negeri Melaka iaitu setiap sekolah mempunyai laman web sendiri sebagai asas perhubungan antara sekolah dengan pelanggan-pelanggan pendidikan negeri ini. Selain dari itu, ia juga dapat dijadikan pemangkin kepada pendidikan berasaskan internet yang turut dilaksanakan oleh KPM melalui perlaksanaan projek MyschoolNet di seluruh negara.
Akhir kata, saya juga menyeru kepada semua guru SMK Bukit Rambai supaya dapat meluangkan sedikit masa dan tenaga dengan menyumbangkan apa jua bahan berbentuk digital seperti nota-nota, bahan-bahan bantuan mengajar, soalan peperiksaan, skema jawapan dan sebagainya untuk manfaat pelajar-pelajar kita yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM mahupun pelajar-pelajar dari sekolah lain.
Sekian, terima kasih.
|