KLUANG 1 Okt. – ‘Kafe siber’ di sekolah. Ia akan menjadi
realiti sepenuhnya tidak lama lagi apabila Kementerian
Pelajaran membekalkan 10 unit komputer di hampir semua
10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.
Ia akan dikenali sebagai
Pusat Akses Komputer, yang konsepnya sama seperti kafe
siber.
Melalui pusat itu para
pelajar akan menggunakan kemudahan tersebut untuk membuat
tugasan sekolah.
Pusat ini berbeza dengan
makmal komputer yang sedia ada di sekolah-sekolah, yang
kegunaannya adalah mengikut jadual waktu persekolahan.
Menurut menterinya, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebanyak 1,500 buah sekolah
dengan 15,000 unit komputer, 1,500 unit pencetak, perabot
dan infrastruktur dengan kos sebanyak RM70 juta terlibat
dalam fasa pertama.
Beliau menambah,
pelaksanaannya telah bermula di 51 buah sekolah rendah dan
menengah di luar bandar Sabah termasuk 10 sekolah dalam
Parlimen Kalabakan di negeri itu manakala 33 buah sekolah
lagi di Johor.
Dalam fasa seterusnya tahun
depan, beliau berkata, sebanyak 12,900 unit komputer lagi
bakal dibekalkan kepada 1,290 sekolah secara berperingkat.
“Berbeza dengan makmal
komputer, Pusat Akses Komputer memberi ruang kepada
pelajar mengenali ICT dan pada masa yang sama ia mungkin
boleh dikongsi oleh ibu bapa, satu hari kelak.
“Menerusi pendekatan ini,
nisbah komputer terhadap murid-murid di sekolah dapat
dikurangkan, usaha membudayakan ICT dapat dipertingkatkan
sekali gus merapatkan jurang pelajar luar bandar dan
bandar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli
Parlimen Sembrong menyatakan demikian kepada pemberita
pada majlis tadarus al-Quran, berbuka puasa dan
penyampaian sumbangan untuk penduduk dalam kawasan
Parlimen itu di Masjid Felda Ulu Belitong, dekat Kluang,
semalam.
Majlis itu adalah anjuran
UMNO Sembrong, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sembrong dengan
kerjasama Unit Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri.
Hadir sama ialah isteri
beliau, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah dan
Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, S. Ramis.
Mengulas lanjut
Hishammuddin berkata, pusat-pusat akses akan lebih banyak
diwujudkan di sekolah luar bandar kerana sekolah di bandar
sudah jauh ke depan dalam menikmati kemudahan ICT sama ada
dibekalkan oleh kerajaan atau pihak ketiga.
Menyedari pendekatan itu
sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak telah mula
dibekalkan generator berkuasa 30 Watt yang baru dan
generator lama dinaik taraf sebagai bekalan elektrik
termasuk air bersih, semuanya selesai paling cepat
menjelang tahun depan, jelas beliau.
“Agenda ini penting, kalau
tiada elektrik tiada guna dibekalkan komputer, seperti
yang berlaku dulu dengan menganggap semua sekolah sama
taraf tetapi banyak sekolah tiada bekalan elektrik ia
menjadi pembaziran kepada kerajaan,” katanya.
Beliau juga memberitahu,
Kementerian Pelajaran menyerahkan kepada budi bicara pihak
sekolah untuk mewujudkan pusat akses itu yang dilihat
bukanlah satu masalah besar selain mengekalkan makmal
komputer yang sedia ada.
Kebimbangan kini ialah
faktor keselamatan terhadap komputer-komputer yang
dibekalkan dan Hishammuddin mengakui sendiri jika berlaku
kehilangan ia mengambil masa yang lama untuk
menggantikannya.
“Soal keselamatan perlu
diambil kira kerana selepas program ini selesai, isu dari
segi insurans, sewa atau jual beli serta menaik taraf
kemudahan tersebut masih dalam perbincangan,” katanya.
Namun lebih meresahkan
beliau ialah jika segala kemudahan yang disediakan tidak
diakses menyebabkan perancangan kerajaan untuk melahirkan
masyarakat celik komputer terbantut.
Dipetik
dari Berita Harian 1 Okt. 2006
|