TUAN HAJI ZAITON BIN HAJI MD DORA
Sekolah merupakan institusi yang amat penting dalam melahirkan warganegara yang berilmu, berdisplin dan bertanggungjawab. Ciri-ciri ini sangat penting dimiliki untuk menjamin keharmonian dan kemajuan negara pada masa akan datang. Oleh itu adalah menjadi matlamat setiap sekolah untuk melahirkan para pelajar yang berjaya dalam bidang akademik, kokurikulum dan disiplin.
Matlamat tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah kerana yang ingin dibentuk itu bukanlah barangan di kilang yang mudah dibentuk mengikut acuan, sebaliknya bahan yang ingin dibentuk di sekolah ialah manusia yang mempunyai pelbagai kelainan di antara satu sama lain, sama ada dari segi kecerdasan, penguasaan bahasa, latar belakang dan pandangan hidup.
Pengetahuan tentang teknologi maklumat adalah perlu agar peranan dan matlamat sekolah itu benar-benar dapat dicapai dan memberi manfaat kepada para pelajar, ibubapa dan negara. Perkembangan IT ini menjadi lebih bermakna apabila semua guru dilibatkan agar mereka faham akan matlamat yang ingin dicapai. Dengan ini mereka dapat memberi sumbangan lebih bermakna sebagai pendidik dan pembimbing para pelajar dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan IT.
Penggunaan teknologi maklumat sekarang sedang menuju ke arah yang lebih global lagi. Kemudahan yang boleh diperolehi dengan penggunaan komputer dan internet sudah semakin meluas. Pelbagai ilmu dan berita semasa, boleh kita perolehi dari seluruh pelusuk dunia. Dengan pendedahan yang tanpa batas ini, kita masyarakat pendidik harus menyediakan pelajar-pelajar kita supaya dapat membuat penilaian yang sewajarnya terhadap sebarang maklumat yang ingin diperolehi itu mempunyai kesan baik atau buruk terhadap mereka.
Berjayanya sesuatu dirancangkan itu memerlukan penglibatan yang sungguh-sungguh dari guru-guru dan para pelajar dalam usaha untuk melahirkan warganegara yang berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan dan bertanggungjawab seperti yang tercatat di dalam Falsafah Pendidikan Negara akan dapat dicapai sepenuhnya.
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DATUK BENDAHARA,
77000 JASIN, MELAKA.
30 Mac 2001