|
KATA-KATA ALUAN PENGETUA
Salam sejahtera dan selamat kembali bertugas di SMK METHODIST (ACS) untuk tahun 2011. Saya percaya selepas hampir enam minggu bercuti, semua guru telah sekurang-kurang mendapat rehat yang secukupnya untuk mula bertugas dengan azam dan semangat yang baru. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru atas usaha yang ditunjukkan sehingga sekolah kita telah mencapai keputusan PMR yang memberangsangkan. Segala usaha dan titik peluh guru telah membawa hasil yang baik. Untuk tahun 2011, kita bermula dengan satu visi baru untuk sekolah. "SEKOLAH PILIHAN KAWASAN TANJUNG MENJELANG 2015". Saya berharap semua warga sekolah akan memegang teguh kepada visi ini dan berusaha untuk mencapai visi ini menjelang 2015. Apabila tercapai visi ini, saya percaya sekolah ini akan menjadi sekolah pilihan ibu bapa di kawasan ini. Hasrat ini hanya akan tercapai sekiranya semua warga sekolah menghayati visi ini. Semua pihak perlu bertungkus lumus dan bekerja keras untuk mencapai visi. Semua panitia Mata Pelajaran dan Jawatan Kuasa perlu merancang program-program untuk meningkatkan pencapaian akademik, sahsiah dan kokurikulum supaya potensi setiap pelajar dicungkil dan digilap ke arah kecemerlangan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan sekolah untuk menghantar anak-anak mereka. Kita mempunyai banyak sekolah pesaing. Daya tarikan ibu bapa adalah kecemerlangan. Mari kita bersama merancang dan melaksanakan program-program strategik yang membolehkan anak-anak didik kita cemerlang. Ketika kita mengejar kecemerlangan, kita harus imbangkan dengan nila-nilai teras yang baik dan mengamalkan "CORE VALUES" sekolah kita. Sepertimana yang saya selalu ingatkan murid-murid kita "Tangan kanan memperoleh ilmu, Tangan kiri memperoleh nilai" Sekian terima kasih. En. Lee Bun Chuan
|
|||||