|
SEJARAH SEKOLAH Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) ialah salah sebuah sekolah yang terkenal di negeri Melaka. Ia telah diasaskan oleh Rev. C. C. Underhill, pengetuanya, pada 24hb Januari.1910 di sebuah rumah di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Bilangan muridnya hanya 7 orang.
Pada tahun 1911, ACS berpindah ke sebuah bangunan di simpang Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Tengkera. Antara tahun 1910 hingga tahun 1917, ACS menghadapi banyak masalah. Pada tahun yang sama, oleh sebab bilangan murid yang semakin berkurangan maka Pertubuhan Gereja Methodist mempertimbangkan penutupan ACS apabila pengetuanya Encik Buell meninggalkannya.
Mujurlah Rev. W. E. Morley telah mendapatkan khidmat Encik P.T. Robinson dari Sekolah Lelaki Methodist Kuala Lumpur sebagai Pengetua ACS. Encik P.T. Robinson membuka semula ACS di bangunan Gereja Methodist di simpang Jalan Kubu dan Jonker Street dengan bilangan murid sebanyak 60 orang. Tetapi oleh sebab kekurangan minat dalam pendidikan Inggeris, bilangan murid kian
merosot. Encik P. T. Robinson pun berputus asa dan memberitahu pelajar-pelajar ACS bahawa mereka akan diberi cuti tiga bulan. Kemudian beliau telah kembali ke Kuala Lumpur. Rev. W.E. Morley pula tidak berputus asa. Beliau melantik Encik J.A.P. Oswald sebagai Pengetua pada tahun 1919. Encik J.A.P. Oswald telah mengubahsuaikan pentadbiran sekolah. Bilangan murid meningkat ke 160 dan guru-guru baru dari Telok Anson, Ipoh dan Kuala Lumpur dibawa ke ACS. Pada masa itu ACS bertempat di dua buah rumah kedai sewaan yang terletak berdekatan dengan Sekolah Cina Yok Bin di Jalan Kubu.
Pada tahun 1922, Rev. M. Dodsworth telah membina sebuah asrama untuk murid-murid dari luar bandar, khasnya murid-murid Melayu, di Jalan Tengkera. Pada tahun 1924, sebanyak 10 orang murid telah mengambil peperiksaan Junior Cambridge dan pada tahun berikutnya mereka menduduki peperiksaan Senior Cambridge. Keputusan mereka sungguh menggalakkan - lebih daripada 80% lulus. Pada tahun 1930, Dr. Ho Seng Ong menjadi Pengetua ACS. Beliau memperkenalkan Majalah Sekolah,
Lambang Sekolah dan pakaian seragam sekolah. Sementara itu pencapaian akademik dan kokurikulum ACS kian meningkat sehingga pada tahun 1940, ACS menjadi sebuah sekolah Inggeris yang terkenal dan telah menyediakan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke maktab atau ke universiti tempatan dan luar negeri. Dr. Ho Seng Ong juga melancarkan satu kempen memungut derma untuk mendirikan sebuah bangunan yang besar kerana bertambahnya bilangan murid. Bangunan itu siap dibina dalam tahun 1941 dan dibuka dengan rasminya oleh Sir Shenton Thomas pada 13.11.1941. Dua bulan kemudian tentera Jepun menduduki Melaka dan bangunan ACS telah digunakan sebagai Pusat Latihan Tentera Laut Jepun. Pada 15.8.1945 Jepun telah menyerah kalah dan dalam bulan September, Dr. Ho Seng Ong kembali ke ACS untuk menolong menyusun semula ACS. Pada tahun 1946, Encik Goh Choon Lim menggantikan Dr. Ho Seng Ong. Beliau meneruskan kerja memulihkan semula organisasi ACS. Dengan geran daripada Gereja Methodist dan Jabatan Pelajaran, guru-guru dan murid-murid ACS bergotong-royong dalam "Operasi Cangkul" untuk memulihkan ACS kepada keadaan sebelum peperangan. Pada tahun 1949 Encik Goh Choon Lim telah melanjutkan pelajaran di Universiti Denver, U.S.A. dan beliau digantikan oleh C.E. Shumaker. Pada tahun itu, tempat letak kereta diubahsuaikan menjadi tiga buah bilik darjah. Bilik lukisan dan perpustakaan juga diubahsuaikan kepada tiga buah bilik darjah. Pada tahun 1951, kantin sekolah turut diubahsuaikan menjadi tiga buah bilik darjah. Pada tahun 1956, sebuah bangunan digunakan sebagai Bilik Vokasional telah dibina. Pada bulan Julai 1957, ACS dibahagikan kepada Sekolah Menengah ACS dan Sekolah Rendah ACS. Encik Yong Fu Kong telah dilantik sebagai Pemangku Guru Besar. Pada tahun 1960 tiga buah makmal sains dibina. Encik Foong Ah Yong yang menjadi Pengetua pada Jun 1970 telah membina sebuah gelanggang tenis, tempat letak basikal yang baru dan telah membaiki kantin sekolah. Beliau juga memperkenalkan sistem Dewey untuk Perpustakaan Sekolah. Pada tahun 1975, buat kali pertama, sesi petang diadakan bagi Tingkatan 1 dan Peralihan.
Pada tahun 1983, Encik Cheong Teng Wan telah menggantikan Encik K.O. chandy sebagai Pengetua ACS. Beliau telah berusaha sedaya-upaya meningkatkan prestasi akademik dan disiplin pelajar-pelajar ACS. Dalam tahun 1984, seluruh kawasan sekolah telah dipagar. Pada bulan Julai 1989, sebuah bangunan tambahan telah dibina dan disiapkan pada akhir bulan Oktober 1989. Pada tahun 1994, sebuah banguanan di bina oleh Encik Alex Lim Yang Juay untuk mengganti Bilik Guru lama. Pada tahun 1999, En. Yoong Yee Seng telah memnambahkan sebuah bangunan untuk digunakan sebagai bilik Kemahiran Hidup. Pada tahun 2008, En. Ong Chhian Po telah menambahkan se buah bilik untuk mengganti Bilik Koperasi lama. Pengetua kini ialah Encik Lee Bun Chuan; |