Portal•SMK Rahmat

78200 Kuala Sungai Baru

Melaka

  • Anda berada di: 
  • Utama
  • Mengenai SMK Rahmat
  • Sejarah Penubuhan & Perkembangan

Selamat Datang Ke Portal Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat

Sejarah SMK Rahmat

Pengenalan

Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat (SMKR) telah ditubuhkan pada tahun 1967. Pada detik ini, bermulanya lembaran baru bagi anak-anak di Mukim Kuala Sungai Baru dan persekitarannya untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi. Sebelum ini, mereka terpaksa berulang alik ke Pekan Masjid Tanah atau ke Bandar Melaka untuk mendapatkan kemudahan pendidikan. Mereka tidak berkemampuan dari segi material dan sudah pastilah mereka tidak dapat meneruskan pelajaran pada tahap yang lebih tinggi. Kemunculan sekolah ini seumpama obor yang bakal menerangi minda dalam mencanai pembangunan dunia keintelektualan masyarakat Kuala Sungai Baru.

Kembali ke atas

Penubuhan Sekolah Menengah Rahmat (SMR)

Pada peringkat awalnya, sekolah ini telah bernaung di bawah pentadbiran Sekolah Menengah Rendah 26 Masjid Tanah atau lebih dikenali pada ketika itu dengan nama Sekolah Menengah Inggeris Masjid Tanah. Kini, sekolah tersebut telah ditukar namanya, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin. Sekolah ini bermula dengan jumlah murid seramai dua ratus satu orang. Tenaga pengajarnya pula seramai enam orang. Pada peringkat awalnya, murid-muridnya telah ditumpangkan di SRJK ( C ) Yok Sin yang terletak di Pekan Kuala Sungai Baru selama dua tahun setengah. Oleh sebab tiada kemudahan bilik darjah, murid-muridnya terpaksa belajar pada sesi petang. Bilangan bilik darjah yang digunakan pada ketika itu, ialah sebanyak lima buah, iaitu tiga buah bagi tingkatan satu dan dua buah bagi tingkatan peralihan. Bagi pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Rumah Tangga dan Seni Perusahaan pula, mereka terpaksa berulang-alik setiap dua minggu sekali di Sekolah Menengah Rendah 26 Masjid Tanah untuk mengikuti latihan amali.

Pada peringkat awal ini juga, pentadbirannya telah dikendalikan oleh pentadbir Sekolah Menengah Rendah 26 Masjid Tanah. Seorang penyelia telah dilantik untuk menguruskan pentadbirannya, iaitu Encik Baba bin Jais. Setiap dua minggu sekali, seorang pelayan pejabat akan datang menguruskan hal surat-menyurat dan pentadbiran. Pada bulan Jun 1969, semua warga sekolah ini telah berpindah ke bangunan tetapnya di satu kawasan seluas tujuh belas ekar di Kampung Keramat Leban yang terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Kuala Sungai Baru. Pentadbiran sekolah ini telah dipisahkan daripada Sekolah Menengah Rendah 26 Masjid Tanah. Nama sekolah ini telah ditukarkan dengan nama Sekolah Menengah Rahmat (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat), sempena nama penghulu pertama di mukim Kuala Sungai Baru, atas cadangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Rahmat. Encik Baba bin Jais telah dilantik sebagai pengetua yang pertama, dengan dibantu oleh Encik Mohamad bin Jais sebagai penolong kanan. Pada tanggal 7 Mei 1976, Sekolah Menengah Rahmat telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. Penduduk di sini juga menganggap sekolah ini membawa seribu rahmat kepada mereka, kerana inilah satu-satunya sekolah menengah bantuan kerajaan yang terdapat di DUN Kuala Linggi.

Kembali ke atas

Tokoh Pengasas

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1970 dan pengerusi pertamanya ialah Encik Othman bin Shawal. Beliau merupakan tokoh terpenting di sebalik kelahiran sebuah sekolah peringkat menengah di daerah ini. Beliau ialah aktivis Kesatuan Melayu Muda dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Melaka. Pengalaman beliau sebagai pendidik serta kesedaran yang tinggi mengenai masyarakat luar bandar telah mendorong beliau memperjuangkan penubuhan sekolah peringkat menengah di daerah ini.

Tun Ghafar Baba Encik Othman bin Shawal merupakan salah seorang tenaga yang berusaha mendapatkan kemudahan 'basikal percuma' untuk hampir 200 orang murid Sekolah Menengah Rendah 26. Pemberian basikal ini merupakan hadiah yang amat berharga bagi murid-murid yang menghadapi masalah pengangkutan. Pemberian basikal ini adalah atas tajaan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, iaitu Encik Ghafar Baba selaku menterinya pada ketika itu.

Kembali ke atas

Sekolah Pembekal Murid-Murid

Sebelum 1973, Sekolah Menengah Rahmat mendapat bekalan murid daripada sembilan buah Sekolah Kebangsaan (SK) kawasan sekitar iaitu SK Kuala Sungai Baru (Othman Shawal), SK Kampong Tengah, SK Kuala Linggi, SK Air Jernih, SK Sungai Tuang, SK Lubok Redan, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yok Sin, SK Ramuan China Kechil dan SK Ramuan China Besar. Setelah penubuhan Sekolah Menengah Lubok China pada tahun 1973, Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat tidak lagi dibekalkan dengan murid-murid dari SK Ramuan China Kechil dan SK Ramuan China Besar, manakala SK Sungai Tuang pula menjadi sekolah pembekal murid kepada SMK Pengkalan Balak dan SMK Rahmat.

Kini terdapat 7 buah sekolah rendah (SK) yang menjadi pembekal murid-murid kepada SMK Rahmat iaitu SK Lubok redan, SK Othman Shawal, SJKC Yok Sin, SK Kampung Tengah, SK Kuala Linggi, SJKC Paya Mengkuang dan SK Air Jernih.

Kembali ke atas

Perkembangan SMK Rahmat

Bermula dengan hanya pelajar menengah rendah pada tahun 1970, Jabatan Pendidikan Melaka telah menaikkan gred sekolah ini kepada gred A pada akhir tahun 1994 dan tambahan pula apabila aliran sains mula diperkenalkan di sekolah ini. Dengan bilangan pelajar seramai 1401 orang dan guru seramai 67 orang pada ketika itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh warga sekolah untuk meningkatkan nama baik sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum serta keceriaan bagi memastikan SMK Rahmat tidak ketinggalan walaupun berada di hujung utara negeri Melaka.

Perkembangan Fizikal

Setelah hampir 42 tahun didirikan, sekolah ini telah banyak mengalami perubahan dari segi fizikalnya. Jika awal penubuhannya hanya terdapat dua blok bangunan kelas dan pentadbiran serta sebuah kantin, kini sudah terdapat 9 blok bangunan dan kantin juga telah dibesarkan keluasannya. Sebuah surau juga telah dibina untuk keperluan pelajar Islam belajar amali solat, menunaikan solat berjemaah dan sebagainya. Sekolah juga telah menyediakan banyak kemudahan seperti Makmal Komputer B, Bangunan Pendidikan Khas dan Bilik BOSS (SPBT). SMK Rahmat juga telah dilengkapi sebuah Pusat Akses yang bertempat di Pusat Sumber Sekolah. Pusat Akses ini mempunyai 10 buah komputer dan kemudahan internet. Ahli Jawatankuasa Unit ICT SMK Rahmat dengan kerjasama pihak pentadbir sekolah telah mengusahakan pemasangan rangkaian tanpa wayar (Wi-Fi) untuk memberi kemudahan mengakses internet bagi warga Rahmat pada bila-bila masa sepanjang waktu persekolahan. Pada penghujung tahun 2007, SMK Rahmat menerima peruntukan mengecat semula bangunan sekolah, membina tembok batu pagar sekolah yang baru dan lain-lain kemudahan yang merubah fizikal sekolah menjadi lebih ceria dan selamat. SMK Rahmat dengan kerjasama pihak PIBG sekolah juga telah berjaya merealisasikan pembinaan sebuah surau yang siap dibina pada awal tahun 2008.

Kembali ke atas

Info Pengunjung




Statistik Pengunjung

Jumlah Pengunjung Hingga Kini Counter Portal SMK Rahmat
Bilangan Pengunjung Atas Talian
Pengunjung

Waktu Solat

Ucapan & Pesanan

Sampaikan pesanan atau ucapan anda dalam bentuk sokongan atau nasihat kepada mana-mana individu di SMK Rahmat. Mesej yang berunsur SPAM akan dilupuskan.

Pautan Luar

Pautan Bestari & Aplikasi Online



























Webmaster